CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, November 7, 2009

Tugasan 3 : Ulasan Kolokium Kajian Tindakan DPLI Ambilan Januari 2009

Ulasan Pembentangan 1
Tajuk
: Meningkatkan Kefahaman Pelajar Dalam Subjek Biologi (Nutrisi) Melalui Kaedah Kooperatif Dan Animasi Video
Pembentang : Hamizah Liyana Binti Anwar dan Siti Noor Aini Binti Alias


Pernyataan masalah
Kajian ini dijalankan bagi melihat kesan kaedah pembelajaran secara kooperatif dan penggunaan animasi video untuk menarik minat serta meningkatkan kefahaman pelajar tingkatan empat mengenai topik ‘Nutrisi’ dalam subjek Biologi. Topik ‘Nutrisi’ adalah merupakan topik yang paling panjang berbanding topik lain di dalam kurikulum Biologi Tingkatan Empat.Bagi mengubah persepsi pelajar yang merasakan Biologi adalah sesuatu yang membosankan (Omundsen,1999), kaedah kooperatif dan penggunaan video diterapkan dalam kajian ini. Kaedah kooperatif ini telah digunakan semenjak tahun 1800 untuk membantu mereka memahami sesuatu yang dipelajari dengan cara bekerjasama dalam kumpulan-kumpulan kecil dan seterusnya membantu meningkatkan pencapaian pelajar (Armstrong,Chang, dan Brickman,2007). Selari dengan perkembangan teknologi maklumat ICT terkini,kementerian telah mewajibkan aplikasi Pengajaran Berbantukan Komputer seperti penggunaan animasi video yang turut digunakan dalam kajian ini untuk menarik minat dan memudahkan pelajar memahami serta mengingati terminology jenis-jenis nutrisi yang terdapat dalam organism dan makanan. Kumpulan ini menyatakan bahawa terdapat kekeliruan terhadap terminologi, kronologi tindakbalas dan konsep (misconception) jenis-jenis nutrisi serta tindakbalas menyebabkan pelajar gagal menjawab soalan kuiz di akhir sesi pengajaran & pembelajaran. Kumpulan ini telah menetapkan 3 objektif yang ingin dicapai iaitu :-
  1. Meningkatkan kefahaman pelajar terhadap topik Nutrisi
  2. Menarik minat pelajar terhadap topik Nutrisi melalui kaedah pembelajaran kooperatif dan penggunaan animasi video.
  3. Mengenalpasti keberkesanan kaedah pembelajaran kooperatif dan penggunaan animasi video ke atas prestasi pelajar.

Daripada objektif yang ingin dicapai kumpulan ini menimbulkan beberapa persoalan kajian bagi memantapkan lagi kajian tindakan yang dilakukan,persoalan kajian mereka ialah seperti yang berikut:-

  • Adakah kaedah pembelajaran kooperatif dapat menarik minat pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti P&P?
  • Adakah penggunaan animasi video dapat menarik minat pelajar terhadap topik Nutrisi?
  • Adakah kaedah pembelajaran kooperatif dan penggunaan animasi video dapat meningkatkan kefahaman pelajar terhadap topik Nutrisi?

Metodologi,setting kajian,sampel kajian
Menggunakan model Kemmis dan Mc Taggard (1983 ). Model ini melibatkan 4 fasa yang utama iaitu perancangan, tindakan, pemerhatian dan refleksi. Kumpulan ini menggunakan 3 kitaran dan membuat penambahbaikan untuk setiap kitaran yang dilakukan.
Bagi mendapatkan data kumpulan ini menggunakan kaedah kualitatif dan kuantitatif. Melalui kaedah kualitatif mereka menggunakan borang pemerhatian guru ,hasil lembaran kerja pelajar ,temubual pelajar dan borang soal selidik. Manakala kaedah kuantitatif yang digunakan ialah kuiz bertulis.
Melibatkan 11 orang pelajar dari kelas 4A (Al-Kharwarizmi) dalam subjek Biologi.Guru mengajar secara kuliah berbantukan penggunaan animasi video untuk menarik minat dan menerangkan proses. Para pelajar seramai 11 orang dibahagikan kepada 3 kumpulan dengan setiap kumpulan mempunyai 3 atau 4 orang ahli.

Pengumpulan dan penganalisisan data
Instrumen kajian yang digunakan ialah pengumpulan data secara kualitatif dan kuantitatif Melalui pengumpulan data kualitatif iaitu pemerhatian (Borang Pemerhatian Guru) didapati pelajar lebih semangat, berminat dan memberi respon yang memberangsangkan kerana mereka secara sukarela dan bersedia menyertai aktiviti tersebut. Begitu juga dengan temubual yang dilakukan dengan pelajar didapati pelajar lebih seronok belajar dalam kumpulan dan mereka lebih berusaha meningkatkan pencapaian. Manakala pengumpulan data melalui borang soal selidik pula didapati pelajar memberi respon yang baik terhadap penggunaan animasi video kerana dapat melihat dengan lebih jelas gambaran sebenar manakala tugasan berkumpulan dapat membantu pelajar lebih faham mengenai topik berkenaan. Respon positif turut dapat dilihat hasil pengumpulan data secara kuantitatif iaitu melalui kuiz bertulis di mana purata markah bagi setiap kitaran adalah menunjukkan peningkatan dan secara keseluruhannya adalah sangat baik dan memuaskan.

Kelemahan & Kekuatan penganalisisan.

Kekuatan

Penggunaan pemerhatian (borang pemerhatian guru) membantu guru untuk meneliti tindak balas pelajar ketika proses P&P berlangsung.

Penggunaan borang soal selidik membantu guru untuk mengetahui penguasaan pelajar mengenai topik yang diajar.

Kelemahan

Pengumpulan data melalui boleh dipertingkatkan melalui penggunaan video supaya pemerhatian dapat dilakukan secara menyeluruh,kerana ketika mengajar mungkin guru terlepas pandang perkara yang berlaku.


Implikasi kajian
Setelah kajian dijalankan didapati pengajaran menggunakan kaedah pembelajaran kooperatif secara keseluruhannya membuatkan pelajar menggemari aktiviti kumpulan kerana mereka saling membantu dan berkongsi maklumat serta menyebabkan pelajar tidak bosan dan seronok. Kaedah pembelajaran kooperatif dapat meningkatkan kefahaman pelajar melalui penglibatan diri secara aktif semasa aktiviti P&P. Manakala penggunaan animasi video membuatkan pelajar lebih berminat dan cepat memahami terhadap topik yang diajar kerana animasi berwarna-warni dan menarik. Penggunaan animasi video pula berupaya menarik minat pelajar terhadap topik berkenaan terutamanya proses tindakbalas di dalam organisma dan makanan.

Ulasan pembentangan
Berdasarkan pembentangan kajian yang telah dijalankan, apa yang saya dapat pelajari adalah gabungan daripada pengajaran menggunakan video dan kaedah pembelajaran kooperatif amat membantu guru terutama untuk subjek sains di mana guru perlu menerangkan sesuatu istilah berbantukan bahan bantu mengajar supaya dapat meningkatkan tahap penguasaan pelajar terhadap sesuatu topik yang ingin disampaikan. Di samping itu juga, pembelajaran berbantukan rakan sebaya amat membantu kerana mereka perlu menyelesaikan masalah yang diberi dalam kumpulan. Setiap ahli akan memainkan peranan masing- masing manakala guru akan bertindak sebagai fasilitator. Keadaan ini akan menarik minat pelajar kerana selama ini pelajar telah bosan dengan kaedah pengajaran konvensional iaitu kaedah kuliah. Namun kaedah yang dijalankan ini juga boleh disesuaikan dengan subjek- subjek lain contohnya sejarah, geografi , matematik dan sebagainya. Di samping itu juga, saya diberi pendedahan mengenai metodologi dan kaedah pengumpulan data serta penganalisisan data kajian tindakan dan akan dapat menjadi rujukan ketika saya membuat kajian tindakan kelak.



Cadangan penambahbaikkan
Memberi masa untuk pelajar mencari dan mengumpulkan maklumat sebelum mereka melakukan pembentangan seperti carian di internet, surat khabar dan sebagainya. Penggunaan animasi video perlu diperluaskan penggunaannya dan tidak terhad kepada set induksi sahaja. Penggunaan animasi video boleh digunakan sepanjang P & P tetapi tidak ditayangkan secara berterusan,dalam masa-masa tertentu guru boleh memberhentikan tayangan animasi video dan menyoal pelajar bagi meningkatkan kefahaman pelajar.

Ulasan Pembentangan 2

Tajuk : Meningkatkan Minat Pelajar Dalam Mata Pelajaran Pendidikan Islam Melalui Teknik Gubahan Lirik Lagu
Pembentang : Robiah Binti Mohamad dan Siti Hajjar Hasnaa Binti Yahya

Pernyataan masalah
Kajian ini dijalankan untuk meningkatkan minat pelajar dan kaedah pengajaran guru terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam. Tumpuan kajian menggunakan teknik gubahan lagu yang bertujuan untuk melatih para pelajar mengingati fakta dengan mudah dan berkesan di samping membina keyakinan dan jati diri pelajar. Kumpulan ini telah menetapkan 3 objektif yang ingin dicapai dalam kajian tindakan yang dilakukan iaitu :-

  1. Meningkatkan minat pelajar dan kaedah pengajaran guru terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam.
  2. Melatih para pelajar mengingati fakta dengan mudah dan berkesan.
  3. Membina keyakinan dan jati diri pelajar.

Daripada objektif yang ingin dicapai kumpulan ini menimbulkan beberapa persoalan kajian bagi memantapkan lagi kajian tindakan yang dilakukan,persoalan kajian mereka ialah seperti yang berikut:-

  • Apakah teknik P&P yang sesuai digunakan untuk menarik minat pelajar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam?
  • Adakah teknik gubahan lirik lagu dapat membantu para pelajar menguasai topik
    dalam Pendidikan Islam?
  • Apakah hasilan yang pelajar dapat melalui kajian ini?

Metodologi,setting kajian,sampel kajian
Kumpulan ini juga menggunakan model Kemmis dan Mc Taggard. Model ini melibatkan 4 fasa yang utama iaitu merancang, tindakan, pemerhatian dan refleksi. Tetapi kumpulan ini hanya menggunakan 2 kitaran dan membuat penambahbaikan untuk setiap kitaran yang dilakukan.
Bagi mendapatkan data, kumpulan ini hanya menggunakan kaedah kualitatif iaitu rakaman audio,rakaman video,pemerhatian dan temubual. Melibatkan 25 orang pelajar tingkatan 2 SMK Desa Perdana.

Pengumpulan dan penganalisisan data
Instrumen kajian yang digunakan ialah pengumpulan data secara kualitatif. Melalui pengumpulan data kualitatif iaitu rakaman audio didapati pelajar merasa agak terkejut dan teruja. Pada mulanya, pelajar merasa kekok & sukar menghayati lirik yang baru. Begitu juga dengan rakaman video,daripada kajian yang dijalankan pelajar aktif melibatkan diri dalam tugasan yang diberikan dan pelajar bersemangat menyanyikan lagu ciptaan sendiri. Hasil temubual dengan pelajar, memberi peluang kepada pelajar untuk memberikan pendapat mereka mengenai pengajaran menggunakan teknik gubahan lirik lagu. Antara pendapat daripada pelajar ialah mereka mudah mengingati topik,gubahan lirik yang mencabar dan melatih diri mereka supaya lebih kreatif,pelajar merasa seronok dan melatih mereka untuk berdaya saing serta bersemangat untuk belajar, pelajar seronok kerana ada kelainan dalam subjek Pendidikan Islam dan ada juga yang menyarankan agar teknik ini perlu diteruskan dan guru perlu memberi penghargaan kepada pelajar yang menang. Manakala sewaktu pemerhatian dilakukan didapati pelajar sentiasa bertanya kepada guru, pelajar aktif dan menunjukkan semangat berpasukan serta pelajar tidak bosan dan berminat topik yang diajar.
Kelemahan & Kekuatan penganalisisan.
Kekuatan
Penggunaan video dan audio ketika proses P&P dapat memudahkan guru untuk melakukan penilaian kerana guru dapat melihat secara keseluruhan dan meneliti kelemahan-kelemahan sewaktu P&P berlangsung.
Melalui temuramah dengan pelajar secara rawak dapat memberi respon terhadap penguasaan pelajar mengenai topik.
Kelemahan
Temuramah boleh dilakukan dengan cara memilih pelajar dari kalangan pelajar pintar,sederhana dan lemah supaya boleh mewakili pendapat keseluruhan kelas.

Implikasi kajian
Setelah kajian dijalankan didapati pengajaran menggunakan teknik gubahan lirik lagu secara keseluruhannya membuatkan pelajar lebih fokus dan memberi tumpuan dalam kelas dan tugasan yang diberikan serta menyelesaikannya bersama rakan di dalam kumpulan. Kajian ini menunjukkan tahap penglibatan pelajar yang proaktif dan juga menjadikan kaedah pengajaran guru lebih kreatif dan berkesan. Kajian ini juga mendapati pelajar lebih mudah mengingati fakta melalui gubahan lirik lagu ciptaan sendiri. Justeru,teknik gubahan lirik lagu dapat meningkatkan minat pelajar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam.

Ulasan pembentangan

Berdasarkan pembentangan kajian yang telah dijalankan, apa yang saya dapat pelajari adalah terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan bagi meningkatkan kefahaman pelajar terhadap topik/mata pelajaran yang dipelajari, yang penting kaedah atau teknik tersebut dapat menarik minat pelajar terutamanya bagi memahami mata pelajaran yang dianggap sukar. Terdapat perubahan ketara kerana sepanjang saya mempelajari subjek Pendidikan Islam, ini merupakan kali pertama saya melihat kaedah teknik gubahan lirik lagu diaplikasikan dalam subjek Pendidikan Islam.



Cadangan Penambahbaikkan
Kaedah pembahagian kumpulan perlu dipertingkatkan dimana setiap kumpulan perlu terdiri daripada pelajar yang lemah dan pelajar yang pintar supaya penjanaan idea gubahan lirik lagu lebih meluas dan rakan yang pandai boleh membantu pelajar yang lemah. Semua gubahan lirik lagu yang dihasilkan boleh dibukukan supaya ia dapat menjadi bahan rujukan kepada guru dan pelajar serta merupakan satu penghargaan kepada hasil nukilan pelajar.

0 comments: